Kepentingan Strategi Pemasaran Dalam Menyaingi Pesaing

Pemasaran sebagai satu proses merancang dan melaksanakan konsepsi, meletakkan harga, mempromosi dan mengedarkan produk, idea dan servis untuk membentuk petukarn bagi memenuhi objektif individu atau syarikat. Secara ringkasnya, pemasaran boleh digambarkan seperti berikut:

Produk + Harga + Promosi + Pengedaran = Kepuasan kepada pelanggan dan usahawan.

Strategi pemasaran adalah satu proses perancangan konsisten yang melibatkan bagaimana produk, harga, promosi dan pengedaran digunakan bagi mencapai matlamat dan objektif syarikat dalam dunia keusahawanan.

Kepentingan Strategi Pemasaran

Strategi pemasaran adalah begitu penting dalam usaha menyaingi pesaing. Di antara strategi yang patut diambil oleh usahawan ialah:

  1. Persembahan produk
  2. Perletakan harga
Persembahan produk

Persembahan produk amat penting bagi memastikan produk yang dihasilkan menarik dan unik dari persepsi pelanggan. Persembahan produk tersebut hendaklah berbeza daripada produk-produk lain, seperti cara pembungkusan dan jenama produk walaupun jenis produk adalah hampir sama. Misalnya dua jenis sabun yang mana daripada bahan yang sama tetapi oleh kerana jenama yang berbeza maka ia dibungkus dengan cara yang berbeza-beza. Perbezaan ini akan memudahkan pelanggan untuk mengenal produk serta dapat membina kesetiaan pelanggan terhadap jenama berbanding produk yang sukar dibezakan pembungkusan serta jenama.

Perletakan Harga

Terdapat pelbagai strategi peletakan harga yang boleh diambil oleh usahawan di antaranya ialah:

Berdasarkan harga pesaing:

Perletakan harga sesuatu produk boleh dipertimbangkan berdasarkan harga pasaran. Ini adalah untuk mengelak produk tersebut membuat perletakan harga yang tidak sesuai dengan harga pasaran semasa. Ini boleh mengakibatkan produk tersebut tidak mendapat sambutan.

Perbezaan harga:

Kaedah perbezaan harga ini digunakan berdasarkan kualiti produk yang dikeluarkan oleh syarikat. Produk yang berkualiti yang lebih baik, dapat dijual dengan harga yang lebih tinggi.

Pengikutan harga:

Kaedah pengikutan harga ialah berdasarkan harga mengikut pasaran global. Ia juga mengikut semasa bagi jenis produk yang sama dengan produk tersebut. Kaedah in adalah amat penting bagi menstabilkan jualan produk tersebut. Dengan mengikut harga semasa, produk tersebut tidak akan tercicir daripada pasaran.

Pemilihan tempat:

Pemilihan tempat untuk memasarkan produk adalah merupakan faktor penting dalam memastikan kejayaan dalam memasarkan produk. Penempatan produk di kawasan yang mempunyai tahap permintaan yang tinggi akan menjanjikan kelarisan produk tersebut.

Strategi promosi:

Produk yang dikeluarkan oleh usahawan sepatutnya berbeza dengan produk yang dikeluarkan oleh syarikat lain supaya ia lebih mudah dikenali dan dipromosikan. Ciri-ciri keunikan tersendiri amat perlu dipertimbangkan, seterusnya promosi yang dilakukan tersebut perlulah bersesuaian dengan jenis produk, masa, keperluan dan kehendak pelanggan. Ini adalah bagi memastikan tujuan promosi tercapai, iaitu untuk menarik perhatian, membangkitkan keinginan membeli, memujuk pelanggan dan menyakinkan pelanggan dengan produk yang dikeluarkan.

Pemilihan saluran pengagihan:

Pemilihan saluran pengagihan yang sesuai juga merupakan mekanisme utama untuk memastikan produk sampai kepada pelanggan tepat pada masanya. Di samping itu, melalui saluran pengagihan juga akan membolehkan syarikat menambahkan lingkaran pemasaran produk yang dikeluarkan.

Secara kesimpulan, syarikat yang ingin mencapai kejayaan perlu mengetahui keadaan sebenar tentang kedudukan pesaing-pesaing agar dapat melaksanakan usaha-usaha perancangan, pelaksanaan dan pengawalan perniagaan dengan lebih berkesan. Keuapayaan usahawan memahami gelagat pesaing-pesaing akan membantu mereka memastikan kelangsungan industri yang diceburi. Dalam konteks ini, usahawan perlu mengetahui siapakah pesaing mereka yang sedia ada, bakal pesaing yang akan muncul dan sejauh manakah ancaman mereka terhadap perniagaan yang diceburi.

Majikan Dan Pekerja: Kenapa Renggang Dan Tak Sehaluan? (Tips Azizan Osman)

“Bos, ni surat berhenti kerja saya…”

Usahawan di luar sana mesti pernah hadapi situasi yang mana tiba-tiba je kakitangan bagi short notice nak berhenti kerja.  Tak ada ribut, tak ada angin tiba-tiba surat sampai depan mata. Tak habis dengan tu, masing-masing bermasam muka pulak. Membawang tu jangan cakap lah, asyik salahkan orang tu, orang ni, asyik tunding jari sana sini. Betul betul?

Dalam sesebuah organisasi dah tentulah ada bos dan ada pekerja, ada ketua dan ada pasukannya serta konsep perhubungan dua hala antara kedua-dua pihak ini sebenarnya yang menentukan perhubungan majikan dan pekerja.

Benda paling penting dalam organisasi adalah bermula dari ketua. Ketua ibarat nakhoda kapal, yang akan mengemudi kapal dan anak kapal menuju destinasi yang sama dan menghadapi gelora dan ombak badai.  Majikan adalah ketua. Setiap team dalam sesebuah department ada ketuanya sendiri. Setiap kakitangan tu juga adalah seorang ketua.

Bagi seorang majikan mereka perlu tahu 5 kunci utama dalam membina hubungan majikan-kakitangan yang baik:

1) Kredibiliti

Dah tentu lah dalam office atau mana-mana syarikat, kredibiliti ketua diukur dari hasil tugas yang dibuat oleh dirinya dan pasukan. Kadang-kadang kita tengok ada sesetengah majikan atau leader yang orang kata ‘kekwat’ atau sombong dengan pekerja bawahan.  Ada ketua yang hanya pandai mengarah, dan pandai menyuruh serta tidak menjadi contoh tauladan yang terbaik. Ada sesetengah majikan/ketua yang nak dapat kehormatan dari team, mereka menggunakan sentimen ‘fear’ dan perasaan takut dan garang untuk hadirkan rasa hormat dari pekerjanya. Malangnya, mentaliti seperti itu lah yang menjadi punca pekerja tidak menghormati ketuanya malah mereka lagi rasa menyampah untuk menghormati bos mereka. Lama-lama orang akan tak suka dan menjurus kepada benci dan itu adalah punca kepada keregangan hubungan antara pekerja dan ketua.

2) Knowledge (Ilmu)

Ilmu ni sangatlah penting bagi setiap ketua dalam mendapatkan kehormatan dan kenyakinan pekerja terhadap kita. Betul! Majikan sepatutnya melantik pekerja yang lebih bijak dari mereka supaya mereka boleh bantu untuk mudahkan kerja dan tugasan harian. Tetapi, kalau kakitangan lebih pandai dari majikan, jangan lah pula majikan buat-buat pandai, dan kakitangan pula nak menyombong meninggi diri. Sama-sama belajar dan melengkapi antara satu sama lain bagi mengekalkan hubungan yang baik antara satu sama lain.

Mungkin ada ketua yang tidak mahir dalam sesuatu bidang, tapi majikan seharusnya pastikan mereka zero ilmu. Sekurang-kurangnya mereka boleh menguasai kemahiran C.M.D. (Control, Manage, Decide); mengawal, mengurus dan membuat keputusan sudah cukup untuk membuktikan mereka layak untuk menjadi ketua.

3)Sikap

Biasalah orang kata bila kita dah duduk kat tempat tinggi ni kita lupa diri, tak tahu nak pandang bawah. Ciri-ciri ketua yang ramai orang nak adalah ‘humble’ atau bersahaja. Dalam konsep bekerja, sebenarnya apa yang diperlukan adalah rasa selesa dari tempat kerja dan juga orang yang bekerja, betul tak? Tapi kalau seorang ketua kita terlalu ‘bossy’ atau tidak boleh terima pendapat orang lain dah tentulah ramai yang akan rasa tak selesa. Dalam konsep sebuah organisasi, sikap adalah sangat penting.

Majikan yang ada hubungan yang baik dengan kakitangan selalunya memupuk sikap atau attitude yang baik dalam organisasi.  Mereka bersama-sama memupuk budaya mementingkan sikap dan perhubungan yang baik di antara majikan dan kakitangan.

4) Komunikasi

Komunikasi yang rapuh adalah punca utama berlakunya keregangan dalam hubungan antara pekerja dan majikan. Sesetengah majikan tidak bijak dalam berkomunikasi dengan pekerja.  Mereka tak mampu nak sampaikan arahan, dan tak mampu mengawal emosi menyebabkan komunikasi tidak berjalan lancar.

Kesilapan utama majikan ialah, bila mereka lantik kakitangan, mereka anggap kakitangan itu terus pandai serta merta untuk buat semua kerja. Majikan tak beri penerangan, tak berikan latihan secukupnya dan tak bimbing kakitangan. Bagaimana mereka nak melakukan pekerjaan sekiranya tiada latihan yang bimbingan? Betul betul?

Majikan juga gagal untuk sampaikan misi dan visi syarikat kepada organisasi sehingga kakitangan tak pasti apa sebenarnya arah tuju organisasi dan apa tugas yang mereka perlu buat untuk bantu majikan capai matlamat perniagaan.

5) Kebajikan

Kebanyakan pekerja boleh berhenti kerja sebab mereka rasa kebajikan mereka tidak dijaga oleh majikan. Contohnya, keperluan tempat kerja dan benefit yang sepatutnya mereka dapat ditarik atau dihadkan. Tak dapat dinafikan, ramai pekerja datang bekerja dengan anda kerana dia percayakan anda mampu dan boleh bayar gaji dan berikan imbuhan yang setimpal. Dan, jika perkara ini tidak diuruskan sebaiknya, kepercayaan yang ada mungkin akan hilang.

Tahukah anda 5913 majikan didakwa kerana gagal bayar caruman KWSP sepanjang tahun 2017? Di Melaka dan beberapa negeri lain pihak KWSP dan SOCSO sentiasa mengadakan operasi untuk mengesan majikan yang tak bayar caruman. Bukan itu sahaja, Jabatan Tenaga Kerja turut menerima 343 aduan semenjak bulan Jun lalu tentang majikan lewat bayar gaji dan kesemuanya dalam siasatan sekarang.

Statistik di atas menunjukkan bukti bahawa ada sahaja majikan yang tidak ambil berat tentang soal imbuhan dan faedah pekerja. Dan ini sebenarnya adalah satu kesalahan yang serius.

Kakitangan adalah aset sesebuah organisasi.  Majikan yang bijak akan bina kakitangan dan rancangan masa hadapan mereka untuk berkembang bersama syarikat.  Ini adalah proses yang sepatutnya berlaku secara berterusan. Malangnya, ramai majikan tak endahkan hubungan dengan kakitangan, dan kakitangan juga tak dibimbing untuk hargai majikan.

Kesimpulannya, antara majikan dan kakitangan adalah saling memerlukan antara satu sama lain. Rezeki seorang majikan adalah dari kakitangannya yang berusaha untuk memajukan syarikat dan rezeki seorang kakitangan adalah dari gaji dan imbuhan hasil usaha yang sama-sama mereka berikan dalam membangunkan syarikat. Majikan dan kakitangan, hubungan perlu selari, jika tak, mereka hanya mencurah pasir ke dalam periuk nasi sendiri.

Sumber: Azizan Osman